Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 mengenai penyata kewangan kerajaan persekutuan dan pengurusan kewangan kementerian/jabatan/badan berkanun persekutuan (BBP), tujuh kementerian mencapai tahap cemerlang (90 hingga 100 peratus), 16 baik (80 hingga 89.9 peratus) dan dua memuaskan (70 hingga 79.9 peratus).

Sebaliknya, prestasi pengurusan kewangan di 18 Jabatan yang diaudit secara tahunan menunjukkan 13 jabatan mencapai tahap cemerlang dan lima pada tahap baik, manakala prestasi pengurusan kewangan untuk 21 BBP menunjukkan dua BBP mencapai tahap cemerlang, 12 BBP adalah baik, lima BBP berada pada tahap memuaskan dan dua BBP berada pada tahap kurang memuaskan.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa Kementerian/Jabatan/BBP yang perlu meningkat dan memantapkan lagi kawalan dalaman pengurusan kewangan agar isu yang dibangkitkan tidak berulang serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan yang lebih serius," katanya.

Laporan tersebut menggalakkan ketua jabatan mengadakan pemeriksaan mengejut secara berkala dan tidak kurang daripada sekali dalam tempoh enam bulan ke atas tiap-tiap peti besi, bilik kebal, peti wang tunai, laci atau bekas lain untuk menyimpan wang dalam jagaan seseorang pegawai dalam jabatannya yang diamanahkan dengan penyimpanan wang awam, setem atau barang-barang lain yang berharga. - Bernama