Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, keputusan mengenai atlet yang akan menyertai kontinjen Negara ke Gold Coast, Australia itu akan diketahui Selasa ini, selepas diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM.

"MOM telah dimaklumkan bahawa kemungkinan akan mendapat kuota satu atau dua tempat lagi. Kita menerima banyak rayuan daripada persatuan sukan kebangsaan dan ekoran itu, kita membuat rayuan kepada jawatankuasa penganjur untuk kuota lebih.

"Bukan sahaja Husniah (Zaidatul Husniah Zulkifli daripada sukan olahraga) tetapi juga beberapa atlet seperti daripada sukan menembak, triathlon dan ping pong turut mengemukakan rayuan mereka untuk  bertanding pada Sukan Komanwel.

"Kita akan tunggu keputusan Lembaga MOM yang akan bermesyuarat Selasa ini. Kita juga akan muktamadkan senarai atlet dalam kontinjen negara," katanya yang ditemui selepas acara Larian Ria Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang di Dataran Merdeka hari ini. - Bernama