Lebih 500 warga Malaysia terdiri daripada kalangan petugas kedutaan dan keluarga serta pelajar di Jakarta,  berkumpul di kedutaan bagi merayakan sambutan Aidiladha bersama-sama Timbalan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Zamshari Shaharan.

Seramai 55 atlet dan pegawai kontingen Sukan Asia Malaysia termasuk Chef de Mission (CDM) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi turut memeriahkan sambutan Aidiladha di Kedutaan Malaysia.

Sukan Asia Jakarta-Palaembang 2018, bermula secara rasmi 18 Ogos dan akan berlangsung sehingga 2 September ini.

"Kedutaan juga amat gembira kerana tahun ini sambutan Aidiladha turut dihadiri para atlet Malaysia, yang sedang berjuang untuk negara di Sukan Asia," kata  Zamshari.

Terdahulu, warga Malaysia beragama Islam menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan Atase Agama Muhammad Naqzrul Azraf Mhd Nazaudin yang turut menyampaikan khutbah raya.

Zamshari dan warga Malaysia kemudiannya turut bergotong royong menjalankan ibadah korban yang diadakan di premis kedutaan itu. Sebanyak lima ekor lembu dan 12 ekor kambing dikorbankan.

Sambutan Aidiladha adalah antara perayaan terbesar di Indonesia, negara yang berpopulasi lebih 260 juta penduduk dengan 85 peratus daripadanya beragama Islam. - Bernama