Perdana Menteri berkata, menerusi konsep itu, negara anggota ASEAN boleh bersama-sama membincangkan dan memutuskan industri utama tertentu di setiap negara, dengan kesemua anggota boleh memanfaatkan pasaran besar yang meliputi lebih 600 juta penduduk di rantau ini.

Beliau berkata, ironisnya, rakyat di rantau ini berpecah, dengan setiap negara anggota ASEAN memberi tumpuan yang lebih kepada pasaran domestik masing-masing, sekali gus tidak membantu mempercepat pembangunan dan kemakmuran sesama mereka.

Mahathir menegaskan bahawa pelaksanaan konsep perkongsian pasaran dalam kalangan negara anggota ASEAN sangat bermakna dalam mewujudkan pertumbuhan sejagat, pembangunan serta kemakmuran di rantau itu.

Ini dilakukan oleh China yang memanfaatkan penduduknya seramai 1.4 bilion untuk menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dalam tempoh kurang dari 40 tahun, katanya.

"China dengan 1.4 bilion penduduk telah berubah dalam tempoh yang singkat, kurang dari 40 tahun, daripada negara miskin dunia ketiga kepada kuasa ekonomi kedua terbesar dunia," katanya dalam ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Filipina, di sini hari ini. - Bernama