Peguamnya, Datuk N. Sivananthan, berkata, Arul ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi ketika anak guamnya itu sedang memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut Sivananthan, Arul akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

“Selain Arul, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut akan didakwa atas pertuduhan sama,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Terdahulu, Arul hadir ke ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 9.30 pagi bagi memberi keterangan berkenaan siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Beliau bagaimanapun ditahan SPRM selepas kira-kira satu jam memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Akhbar Kosmo! baru-baru melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut hadir ke ibu pejabat SPRM di sini semalam bagi memberi keterangan berkenaan siasatan kes sama.

Kosmo! pada 26 November lalu melaporkan, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah diubah dan Najib tahu mengenai perkara tersebut.

Dua perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan status kewangan 1MDB. - K! ONLINE