Armin, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pindaan, Armin yang bekerja sendiri didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam ke atas seorang anaknya dengan menggunakan 
sebatang rotan. 

Bekas pramugara itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Denai Alam di sini antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.

Sehubungan itu, Armin didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.  

Raja Noor Adilla kemudian mengekalkan ikat jamin yang ditawarkan sebelum ini iaitu RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes.

Pada 8 Mac lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan bagi kes berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tertuduh diwakili peguam, Nurul Fadzlinda Ibrahim dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi. - K! ONLINE