"Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan pasukan Arab Saudi yang terdiri daripada beberapa pihak berkuasa Saudi termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Haji dan Umrah, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pasport, Pusat Maklumat Kebangsaan serta Lembaga Penerbangan Awam," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Media, Kedutaan Besar Arab Saudi di sini hari ini.

Kenyataan itu menyebut pasukan ini ditugaskan untuk melengkapkan semua prosedur termasuk cap jari dan cap pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Prosedur ketibaan serta bagasi akan diurus di Malaysia dan jemaah diberi pintu kemasukan khas sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.

Sebaik tiba, jemaah akan bergerak terus ke kediaman mereka termasuk prosedur bagasi akan dihantar ke kediaman masing-masing.

Kedutaan Arab Saudi berkata ia adalah inisiatif yang dicadangkan oleh Kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci dalam Program Perkhidmatan Jemaah Haji dan merupakan antara Wawasan Arab Saudi 2030.

"Program ini telah diuji ke atas jemaah haji Malaysia pada musim haji 1438H melalui dua fasa. Fasa pertama termasuk dua penerbangan membawa 75 jemaah, fasa kedua termasuk lima penerbangan membawa 1,600 jemaah," katanya.

Menurut kenyataan itu, kejayaan program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia pada tahun lepas.

"Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia yang menyediakan semua kemudahan kepada pasukan Arab Saudi untuk kejayaan inisiatif ini, dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa Arab Saudi yang menyertai kejayaan usaha ini," katanya. - Bernama