Beliau berkata aplikasi cALLme itu akan dimulakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai fasa pertama, sebelum diperluaskan kepada teksi-teksi bandar di seluruh negara.

"Aplikasi teknologi ini akan menjadi salah satu pilihan kepada pengguna masa kini dan saya yakin platform moden ini akan memberikan  nilai tambah baik kepada sistem teksi di dalam negara ini," katanya.

Anthony berkata demikian kepada media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bagi menguruskan perkhidmatan aplikasi cALLme tersebut di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani antara Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden Petekma Mohd Syahrir Abd Aziz. 

Anthony berkata cALLme akan memberi pilihan kepada penumpang untuk menggunakan teksi di lapangan terbang dengan kadar tambang ditetapkan seperti di wartakan oleh kerajaan tanpa sebarang caj tersembunyi seperti pembayaran tol.

Mengenai permintaan industri teksi berhubung penukaran warna atau wajah teksi, Anthony berkata pihaknya mengambil sikap terbuka dengan pandangan serta cadangan pihak industri sama ada perlu ada kebebasan teksi-teksi tradisional berubah wajah.

"Kereta swasta yang menggunakan perkhidmatan e-hailing bebas menggunakan warna atau jenis kereta asalkan tertakluk kepada syarat. Kalau itu kita boleh terima, sudah tentu kita boleh terima untuk teksi ini. Ia masih dalam pertimbangan dan belum ada kata putus," katanya.

Mohd Syahrir dalam pada itu meminta Kementerian Pengangkutan  mengeluarkan satu garis panduan berhubung kawalan harga siling untuk kadar tambang agar penawaran harga adalah munasabah dan kompetitif antara e-hailing cALLme dan Grab. - Bernama