Ketua Operasi dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Mohd Hafiz Hafizul Timaradin berkata, siasatan awal mendapati kebakaran bermula di kawasan parkir di aras enam dan telah merebak sehingga aras 46 melalui corong pembuangan sampah kira-kira pukul 5.32 petang tadi.

“Tiga pekerja warga Pakistan, dua Myanmar serta dua lagi warga tempatan berketurunan India dan Melayu berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan kecuali salah seorang pekerja dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana sesak nafas.

“Setakat pukul 10 malam tadi, pasukan bomba masih menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran melibatkan 25 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Jalan Perak, Paya Terubong dan Teluk Bahang tidak termasuk 37 anggota bomba sukarela,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi. - K! ONLINE