Justeru, bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak mahu dilihat sebagai pihak yang mahu menekan kerajaan yang baru ditubuhkan selepas memenangi Pilihanraya Umum (PRU) lalu.

Bagaimanapun, katanya, jika beliau menjadi Ahli Parlimen, perkara utama yang akan dilakukan adalah menyokong kerajaan.

“Kalau saya dipilih untuk masuk Parlimen, saya akan bertindak sebagai penyokong kerajaan. Peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh terdekat namun melalui penyertaan (saya) dalam Parlimen.

“(Tetapi) Sekarang, kita bagi sokongan penuh kepada Dr. Mahathir untuk mengemudi kerajaan tanpa sebarang tekanan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dekat sini semalam.

Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar juga bercadang untuk berjumpa dengan Mahathir bagi membincangkan syor untuk melakukan reformasi terhadap institusi Parlimen.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kuasa Kabinet menteri tidak melebihi kuasa Parlimen.

“Beri peluang kepada saya untuk masuk mereformasikan Parlimen. Parlimen perlu diberi kesempatan secara demokrasi,” katanya.

Mengulas tindakan Ahli Parlimen PKR yang sanggup mengosongkan kerusi mereka untuk Anwar, beliau berkata, ‘pelawaan’ itu masih diteliti.

Beliau juga mengakui tidak berasa janggal dengan permintaan Ahli Parlimen tertentu yang mempelawanya mengambilalih kerusi mereka. - K! ONLINE