Enggan mengulas lanjut hal itu, beliau turut meminta semua pihak agar berhenti melaga-lagakan mereka berdua.

"Saya tak dengar pun...media (yang) bagitahu, kita teruskanlah dengan agenda ekonomi," katanya ringkas selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia, bertemakan "Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan" di Parlimen hari ini. 

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Anwar sebelum ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.
 
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, Gerakan mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional  dan sehingga kini belum menyertai mana-mana gabungan.

Sementara itu, Gerakan mengalu-alukan kemasukan mana-mana ahli atau pemimpin Pakatan Harapan jika bersetuju dan boleh menerima ideologi parti tersebut, kata Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Dominic berkata, parti tersebut tidak mempunyai masalah dan terbuka untuk menerima kehadiran ahli -ahli baharu yang mementingkan dan memperjuangkan hak rakyat dalam membantu memajukan negara.

"Kami sentiasa terbuka, mengalu-alukan sesiapa sahaja, asalnya mereka bersetuju dengan ideologi kami. Gerakan adalah parti politik berbilang kaum. Semua anak Malaysia ada hak sebagai rakyat," katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh media sosial dari Sungai Petani. - Bernama