Menurut beliau, Anwar memaklumkan perkara tersebut ketika menghubunginya pada awal pagi ini.

Katanya, Anwar sebelum ini mempertimbangkan untuk bertanding satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu masing-masing di negeri utara, tengah dan selatan.

"Memang sebelum ini ada tiga (kawasan Parlimen) tetapi apabila Anwar menghubungi saya pagi ini, pilihannya dikurangkan menjadi dua sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Servis dan Jualan Perodua, MBM Distribution Sdn. Bhd. di sini sebentar tadi.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kedua-dua kawasan Parlimen yang dalam pertimbangan terakhir Anwar merupakan kawasan yang paling selamat untuk dimenangi sekiranya bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

"Dua kawasan (Parlimen) tersebut adalah selamat untuk ditandingi Anwar kerana kami telah ambil kira semua perkara termasuk keputusan pilihan raya kecil baru-baru ini, peratusan keluar mengundi, isu semasa serta isu dimainkan pembangkang," katanya. 

Selain itu, beliau memberitahu, Anwar yang memulakan lawatan ke Hong Kong hari ini dijangka membuat keputusan rasmi kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya selepas pulang daripada lawatan tersebut  pada Rabu ini. - K! ONLINE