Aminuddin yang juga pengerusi PKR Negeri Sembilan ketika dihubungi Bernama berhubung spekulasi ini berkata setakat ini beliau masih belum menerima sebarang maklumat berkaitan perkara itu.

Seminggu dua ini keadaan politik negara sibuk memperkatakan kerusi Parlimen manakah yang akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada  Anwar  untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai persiapan untuk menjadikan beliau sebagai perdana menteri ke-lapan.

Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR sebelum ini digembar-gemburkan akan bertanding di negeri kelahirannya iaitu Pulau Pinang dan kemudiannya Kedah serta Pandan, Selangor dan terbaru di Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR selama tiga penggal sejak 2008.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan komen daripada penyandang kerusi Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah berhubung desas-desus ini, gagal.

Untuk rekod, Danyal Balagopal ialah wakil tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan calon PAS  Mahfuz Roslan dengan majoriti 17,110 undi. - Bernama