Siti, 39, bersyukur dengan sambutan menggalakkan peminat terhadap single ciptaan dua komposer muda, Hael Husaini dan Ezra Kong itu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang melanggan sejak tengah malam tadi dan trending juga tanda pagar Anta Permana. Alhamdulillah.

“Carta ni kita tahu turun dan naik. Biasanya lagu baharu dilancarkan akan dapat langganan yang tinggi. Siapalah saya ingin dibandingkan dengan Avril tetapi saya meyakini bahawa muzik universal, muzik akan berjalan dengan sendiri tanpa mengenal bahasa, penyanyi dan dari negara mana,” kata Siti ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Anta Permana
Judul lagu Anta Permana dipilih untuk memperkenalkan kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan.

 

Tambah isteri kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau berharap agar Anta Permana juga dapat melangkaui audiens pendengar yang lebih meluas.

Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu klasik yang membawa makna tidak terkira atau infiniti.

“Lagu ini mengisahkan cinta sejati tiada bandingannya. Pemilihan judul lagu ini selain maknanya yang bertepatan lirik lagu, saya berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu klasik yang jarang digunakan,” jelas Siti.

Sementara itu, Siti juga telah menjalani penggambaran video muzik yang diarahkan oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production. Klip video rasmi berkenaan dijangka boleh ditonton di saluran Vevo DatoSNurhalizaVEVO di YouTube bermula minggu hadapan.

Selain di iTunes, Anta Permana kini boleh didengari di semua platform digital lain seperti Spotify, Joox dan KKBox. - K! ONLINE