Kejadian yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam itu menyebabkan beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda banjir kilat termasuklah Bukit Tengah, Mak Mandin, Bandar Perda, Sungai Puyu, Kampung Permatang Rawa, Taman Permai Jaya, Kampung Baru dan Alma selain di sekitar Tasek Gelugor di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, selain kejadian pokok tumbang yang dilaporkan di lapan lokasi, sebanyak 10 batang jalan turut dinaiki air, namun masih boleh dilalui kenderaan.

“Beberapa kereta dilaporkan turut rosak apabila ditimpa pokok tumbang berdekatan sebuah flat di Jalan Permatang Pauh,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, sehingga pagi tadi, seramai 286 mangsa daripada 68 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan banjir di daerah SPT dan SPU.

“Antara yang dibuka di SPT ialah pusat pemindahan banjir Dewan Bomba Sukarela Juru yang menempatkan lapan mangsa, Dewan Permatang Rawa (14), dan Masjid Ara Kuda (63).

“Di SPU pula, seramai 98 mangsa ditempatkan di Sekolah Agama Lebuh Banting, 103 orang di Dewan Lubok Meriam, manakala Dewan Kampung Desapuri ditutup sepenuhnya pukul 8.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, kira-kira 50 peniaga di Uptown Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini terpaksa menanggung kerugian apabila khemah dan barang jualan mereka diterbangkan angin dan basah ditimpa hujan.

Menurut peniaga di situ, angin kencang datang secara tiba-tiba menyebabkan mereka gagal menyelamatkan khemah dan barang jualan. 

Selain kawasan Seberang Perai, beberapa kawasan di bahagian pulau turut terjejas termasuklah di Jalan P. Ramlee dan pusat bandar George Town apabila jalan raya dinaiki air. - K! ONLINE