Dalam kejadian kira-kira 3.40 petang itu, mangsa, Laskar Udara 1 Mohd. Amin Zulkeflee, 22, yang mengalami kecederaan parah itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala abangnya, Laskar Udara 2 Mohd. Saifullah Shafaiz, 25, cedera di bahagian muka. 

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua beradik yang bertugas di Bahagian Sumber Manusia, Markas Tentera Udara di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur itu sedang dalam perjalanan menuju ke ibu kota. 

“Tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Saga FLX dipandu Mohd. Amin hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya sebelum berpusing dan terbalik.  

“Akibat kemalangan tersebut, Mohd. Amin mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Wan Azharuddin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk proses bedah siasat manakala abangnya turut dirawat di hospital sama. 

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini sedang menunggu keputusan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - K! ONLINE