Dalam kejadian kira-kira 11.44 pagi itu, suspek dipercayai warga asing berusia lingkungan 30-an itu didapati terjatuh dari motosikalnya jenis Yamaha LC selepas bergesel dengan penunggang motosikal lain.

Difahamkan, suspek yang tiada pengenalan diri itu kemudian telah ditahan seorang anggota Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas dimaklumkan oleh orang awam mengenai tindakan suspek meragut sebelum diserahkan kepada anggota polis.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, kejadian berlaku secara kebetulan dimana Skuad Penyelamat DBKL berkenaan dalam perjalan pulang ke ibu pejabat dari Pejabat Jabatan Penguatkuasaan.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang, anggota Skuad Penyelamat berkenaan mendapati terdapat satu kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal wanita yang dipercayai dilanggar lari.

“Ketika memberi rawatan awal kepada wanita yang dianggarkan berusia 50-an itu, terdapat satu lagi kemalangan di laluan bertentangan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian membabitkan peragut berkenaan.

“Seorang anggota telah ditugaskan untuk membantu suspek sebelum dimaklumkan orang awam bahawa suspek merupakan seorang peragut yang baru sahaja meragut seorang penunggang motosikal wanita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Susulan itu, anggota berkenaan telah menahan suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan susulan.

“Justeru, saya ingin berterima kasih kepada kempat-empat anggota berkenaan atas tindakan pantas membantu memberi rawatan awal kepada wanita berkenaan dan menahan peragut tersebut.

“Keempat-empat anggota berkenaan merupakan Mohd. Shahrizal Abu, Shahrul Azlan Sulaiman, Muhammad Hafiz Ismail dan Ahmad Fikhrie Che Baharom,” jelasnya.

Difahamkan, kesemua mereka akan menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Penguatkuasaan DBKL pada 15 Januari ini.- K! ONLINE