Perintah reman ke atas suspek berusia 32 tahun dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Mas Azmimin Ahmad kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Permohonan reman dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat SPRM, Riduan Kadri bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki terbabit diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 

Suspek yang bertugas di pondok polis Sungai Kelamah di Gemas ditahan dalam satu serbuan di sekitar pekan Gemencheh Baru dekat Gemas pada pukul 1 petang, 10 Sptember lalu.

Tangkapan dilakukan selepas pihak SPRM menerima laporan bahawa suspek meminta dan menerima wang rasuah RM1,000 daripada pengadu yang juga seorang penternak kambing dan peladang pada pukul 11.30 pagi, 6 September lalu.

Sogokan itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pengadu berusia 36 tahun yang dikatakan bersubahat dalam kegiatan mencuri kambing.

Pada hari sama pukul 4.30 petang, suspek sekali lagi meminta wang rasuah RM5,000 daripada pengadu bagi tujuan sama. 

Suspek menerima wang rasuah RM3,000 daripada pengadu empat hari kemudian. Susulan itu, suspek ditahan oleh SPRM. - K! ONLINE