Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang baru ditubuhkan menetapkan supaya salinan maklumat pengisytiharan harta diberikan kepada pihak suruhanjaya. 

"Pada masa dulu, pengisytiharan harta di peringkat persekutuan cuma diberi kepada Perdana Menteri sahaja dan kalau di peringkat negeri diberi kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Kini satu salinan perlu diberikan kepada SPRM dan kemudian memuat naik maklumat tersebut di dalam portal SPRM," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis lafaz IBR Anggota Dewan Undangan Negeri dan Ketua Jabatan Badan Berkanun negeri Perak yang diketuai Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Shamshun Baharin berkata, bagi memastikan urusan memuat naik maklumat tersebut di portal SPRM berjalan lancar, pihaknya akan menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang timbul termasuk daripada aspek penyelarasan borang.

"Perkara itu sedang diambil tindakan dan selepas ia selesai, kami akan memuat naik maklumat berkaitan dengan pengisytiharan harta yang dibuat oleh anggota pentadbiran di dalam portal SPRM," katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata semua pengurusan syarikat milik kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri akan turut diminta mengisytiharkan harta.

"Perkara ini telah saya arahkan untuk dibuat serta-merta, bukan sahaja kesemua exco kerajaan negeri dan ADUN, namun kepada mereka juga," katanya. - Bernama