Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, pemeriksaan telah dilakukan dan tiada bahan letupan ditemui di kawasan Kompleks Mahkamah tersebut.

“Siasatan awal mendapati, kaunter Balai Polis TTDI telah menerima panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu terdapat satu letupan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukul 11.10 pagi.

“Susulan itu, kita telah mengambil tindakan pemeriksaan di kawasan mahkamah terbabit dan tiada bahan letupan ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, polis telah menghubungi pihak pengurusan mahkamah berhubung ancaman bom sebelum semua kakitangan mahkamah diarah mengosongkan bangunan terbabit secepat mungkin bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

Pemeriksaan mungkin akan mengambil masa dan bantuan dari Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Penugasan Unit Anjing Pengesan (K9) telah ditugaskan bagi mengesan bahan letupan di mahkamah tersebut. - K! ONLINE