Kejadian berlaku pukul 5.30 petang, ketika anak perempuan mangsa berusia 42 tahun melawat ibunya, 69, yang tinggal berseorangan di rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kali terakhir anak mangsa itu menghubungi ibunya adalah pukul 12.30 tengah hari, Khamis lalu.

"Bagaimanapun, anak mangsa telah ke rumah ibunya itu selepas panggilan dilakukan pukul 1 tengahari semalam tidak dijawab. 

"Sebaik tiba di rumah didapati mangsa ditemui dalam keadaan berdarah dan meniarap di atas kerusi dan telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Beliau menambah, berdasarkan siasatan tiada sebarang kesan ceroboh dan kehilangan barang berharga di rumah mangsa. 

Ujarnya, siasatan awal juga mendapati mangsa mempunyai masalah kesihatan iaitu asma dan darah tinggi serta berjalan menggunakan tongkat kayu.  

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang) untuk bedah siasat. 

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," jelasnya. - K! ONLINE