Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, gajah jantan berusia lingkungan tujuh hingga sembilan tahun itu didapati lemah pada sebelah pagi pada hari yang sama.

Beliau berkata, gajah itu disahkan mati pada pukul 3 petang biarpun pasukan perubatan telah memberikan rawatan terbaik untuk merawat mamalia itu.

"Pada Ahad lalu, kami mendapati keadaan kesihatan gajah semakin merosot. Lebih menyedihkan haiwan berkenaan tidak boleh berdiri.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian haiwan itu berpunca daripada kegagalan pelbagai organ untuk berfungsi akibat jangkitan pada kesan luka di kaki gajah tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil bedah siasat turut mendapati gajah berkenaan berkemungkinan terperangkap lebih lima minggu sebelum haiwan itu diselamatkan renjer hutan.

Anak gajah jantan itu diselamatkan oleh pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah pada awal minggu lalu di Taliwas, Lahad Datu.

Haiwan berkenaan kemudian di pindahkan ke pusat Santuari Gajah Borneo untuk mendapatkan rawatan.

Gajah tersebut mengalami kecederaan parah pada kaki kiri kesan daripada perangkap pemburuan haram. - K! ONLINE