Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Abd. Rahim Othman berkata, reptilia sepanjang satu meter itu ditemui dalam salah satu perangkap yang dipasang di tasik berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Selepas lima hari operasi yang dijalankan oleh pihak kita bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), akhirnya anak buaya ini berjaya ditangkap dengan menggunakaan perangkap saiz sederhana.

"Sebanyak tiga perangkap saiz sederhana, dua jala dan satu pukat telah digunakan sepanjang lima hari operasi ini. Hasilnya, salah satu perangkap yang diisi dengan umpan ayam telah berjaya memerangkap anak buaya ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya belum dapat memastikan jantina anak buaya tersebut dan reptilia itu kini ditempatkan di sebuah kolam khas buaya di Paya Indah Wetland (PIW), Banting.

"Anak buaya ini, kita tempatkan di PIW terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil sama ada dilepaskan di habitat liar atau diserahkan kepada pihak yang berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan anak buaya itu dilepaskan oleh individu yang tidak bertanggungjawab ke dalam tasik itu.

"Saya yakin anak buaya ini dilepaskan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan mereka ini takut dikenakan tindakan undang-undang kerana menyimpan dan memelihara spesis yang dilindungi penuh ini.

"Ini adalah kerana menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang memelihara atau menyimpan mana-mana spesis buaya tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa," tegasnya.

Kosmo! Online pada Jumaat lalu melaporkan Perhilitan Selangor percaya anak buaya tembaga yang ditemui di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini dilepaskan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Abd. Rahim Othman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tasik berkenaan tidak bersambung atau mempunyai saluran terus ke mana-mana sungai utama di negeri ini. - K! ONLINE