Timbalan Presiden ANAK, Mohd. Nasa ie Ismail berkata, kesemua laporan membabitkan penyelewengan itu pernah dibuat sebelum ini dan ia dibuat semula sebagai menyambut kesediaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull untuk membuka semula kes tersebut. 

“Dua daripada laporan ini sudah dilaporkan sejak bertahun-tahun dulu dan satu adalah laporan baharu selepas kesediaan pihak SPRM untuk membuka semula kertas siasatan. 

“ANAK berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera sekali gus dapat mereformasikan Felda dan mengembalikan semula wang Felda yang hilang sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini. 

Laporan yang dibuat ialah ANAK melibatkan penjualan kepentingan Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) sebanyak 51 peratus kepada FGV pada harga RM2.2 bilion jauh lebih rendah daripada harga yang diberikan kepada Felda Holding Berhad (FHB) iaitu sebanyak RM5.7 bilion sehingga menimbulkan keraguan banyak pihak. 

Selain itu, laporan turut dibuat terhadap pembelian hotel oleh anak syarikat Felda, FIC di London, Kuching dan Kota Kinabalu pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran. 

Turut dilaporkan ialah pembelian syarikat perladangan Eagle High Plantation oleh sebuah lagi anak syarikat Felda iaitu FIC Properties yang dimiliki oleh Rajawali Group Indonesia pada harga RM2.26 bilion. 

Menurut Mohd. Nasa ie, pembelian itu dikritik oleh banyak penganalisis pasaran yang mengatakan ia lebih tinggi daripada harga pasaran dan tanah untuk tujuan penanaman kelapa sawit itu didapati tidak sesuai untuk komoditi tersebut. 

“Dalam masa yang sama timbul keraguan berkenaan hubungan pemilik Rajawali Group yang dipercayai mempunyai hubungan baik dengan bekas Perdana Menteri dalam pentadbiran sebelum ini,” ujar beliau. - K! ONLINE