Amisah, 32, anak kelahiran Kampung Tahak, Membakut, Sabah, berkata penganugerahan yang diterima sempena Sambutan Hari TLDM Ke-84 itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi  kepadanya sebagai Laskar Kanan dan juga golongan wanita yang berkhidmat dalam TLDM.

"Kepada wanita jangan takut untuk cuba sesuatu pekerjaan yang mencabar dan bukan semua wanita boleh membuat kerja rutin sebagai tentera laut, buat yang terbaik.

"Disiplin semua anggota wajib kena tertinggi, cabaran tidak terduga, dalam masa kita tak sedia, kita akan dapat cabaran yang tak terjangka," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis penganugerahan pingat itu. 

Laksamana  Pertama Datuk Muhamad Ridzwan Abd Rahman mewakili Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menyampaikan pingat berkenaan pada sambutan Hari TLDM Peringkat Lembah Klang, di sini hari ini. 

Amisah yang kini bertugas di bahagian Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan berkata penganugerahan itu juga adalah berkat kesabarannya menempuh cabaran ketika menyertai  Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT 850-1) di Lubnan selama enam bulan selain pernah berkhidmat selama setahun lapan bulan, di Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera. 

Tahun lepas, Amisah pernah dianugerahkan Laskar Terbaik TLDM sempena sambutan Hari TLDM Ke-83. 

Menceritakan pengalamannya dalam TLDM, Amisah berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ketika menyertai misi pengaman di Lubnan bila konvoi mereka berhadapan saat getir diserang penduduk tempatan dengan batu selain detik cemas ketika di tengah laut. 

"Pengalaman berhadapan ribut kencang dan laut bergelora ketika berkhidmat di KLD Tunas Samudera, memang cukup mencabar bagi seorang wanita seperti saya," katanya. 

Turut menerima pingat Sailor Of The Year ialah Pegawai Waran I Mohammad Khan Mohd Newaz dan Pegawai Waran II Muhamad Aidil Othman. 
Pingat berwarna keemasan tersebut dengan reka bentuk Anchor dan Boswain Coll cukup sinonim dengan TLDM. - Bernama