Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pada masa ini, Ribut Tropika Pabuk berada di Teluk Siam dan dijangka merentasi Segenting Kra.

"Amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter juga dijangka melanda kawasan perairan Timur Samui dalam tempoh yang sama," menurut kenyataan itu.

Keadaan angin kencang dengan kelajuan 40-50 km sejam dan mencapai ketinggian 3.5 itu juga dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan dalam tempoh sama. 

Sementara itu, angin kencang berkelajuan 40-50km sejam dengan ombak berketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket dan Selat Melaka Utara hingga Sabtu (5 Januari).

Keadaan itu turut melanda kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dalam tempoh yang sama, kata kenyataan itu.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan serta perkhidmatan feri. Ia juga berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - Bernama