Anak kedua daripada tujuh adik-beradik itu memperolehi purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0 bagi empat mata pelajaran yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Ekonomi. 

Menurut Hidayu yang bercita-cita mahu menjadi seorang pensyarah, kejayaan dicapainya adalah hasil dorongan kedua ibu bapanya yang bersusah payah membesarkan mereka tujuh adik-beradik dengan pendapatan bapanya yang bekerja sebagai seorang pemandu van. 

“Saya tidak pernah mengikuti mana-mana kelas tambahan berbayar kerana bahan yang disediakan oleh pihak sekolah lebih daripada mencukupi. Saya menyiapkan kesemua latihan yang diberikan oleh guru dan mengulang kaji pelajaran di rumah. 

“Dalam masa sama, saya juga mengamalkan beberapa surah pilihan yang dibaca setiap malam dan pada waktu Subuh selain berkat doa oleh kedua ibu bapa saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman di sini hari ini. 

Sementara itu, bapa Hidayu, Ahmad Mat Ali, 47, menyifatkan pelajar cemerlang itu sebagai seorang anak yang sentiasa patuh arahan kedua ibu bapa. 

“Saya yang minta dia memasuki tingkatan enam selepas tidak berjaya ke universiti selepas SPM. Saya dan isteri juga tidak pernah memaksa Hidayu untuk sentiasa pegang buku, apa yang dilakukannya merupakan usaha sendiri yang mahu belajar bersungguh-sungguh,” katanya yang berasal dari Kuala Ibai di sini. - K! ONLINE