Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Allahyarham Bakhtiar juga giat dalam memperjuangkan nasib penduduk kawasan Semenyih. 

"Semasa hayatnya, Allahyarham sering meluangkan masa berbincang dengan saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengenai inisiatif bagi penduduk kawasan Semenyih. 

"Di peringkat Dewan Undangan Negeri Selangor, Allahyarham merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Amirudin, Allahyarham Bakhtiar yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Langat juga memainkan peranan penting dalam Pakatan Harapan di Selangor. 

"Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian ini dan mendoakan ahli keluarganya diberi kekuatan untuk mengharungi ujian yang amat berat ini.

"Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah. Al Fatihah," katanya. 

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan Allahyarham Bakhtiar meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung di Hospital Kajang, pukul 4.45 pagi tadi. - K! ONLINE