Walaupun tewas, aksi yang ditampilkan Aaron-Wooi Yik wajar dipuji memandangkan kejohanan kali ini merupakan penampilan sulung mereka di All England, namun masih mampu mara ke pentas final.

Pada aksi yang berlangsung di Arena Birmingham itu, beregu No.2 negara bagaimanapun memulakan perlawanan dengan aksi positif apabila menguasai sepenuhnya set pertama sebelum menang mudah 21-11.

Bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki jaguh Indonesia berkenaan menjadi azimat buat mereka apabila bangkit melakar kemenangan 21-14 pada set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Sebaik set penentuan bermula, Ahsan-Hendra yang juga bekas beregu No.1 dunia mula mengorak langkah dengan menampilkan aksi lebih kemas dan memastikan kejuaraan menerusi kemenangan 21-12.

Kali terakhir Malaysia memenangi kejuaraan All England dalam acara beregu lelaki adalah pada 2007 menerusi beregu emas pada ketika itu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. - K! ONLINE