Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, setakat pukul 11 pagi tadi, aliran trafik tinggi di kawasan Rawang Selatan menghala ke Rawang Utara, Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gopeng dan Gopeng ke Simpang Pulai.

"Trafik juga perlahan dari Changkat Jering ke Taiping Utara dan Jawi ke Bandar Cassia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik turut dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Gombak menuju kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.

"Aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 juga mengalami kesesakan di kedua-dua arah," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama