Menurut jurucakap PLUS Malaysia Bhd., aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Changkat Jering ke Bukit Berapit, Kuala Kangsar ke Terowong Menora dan Ipoh ke Simpang Pulai di Lebuh Raya Utara-Selatan.

"Trafik juga dilaporkan bergerak perlahan dari Gopeng ke Slim River di lebuh raya yang sama," katanya ketika di hubungi Bernama di sini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, situasi yang sama juga dilaporkan di Plaza Tol Bentong ke Lentang dan Plaza Tol Gombak.

"Bagaimanapun, aliran trafik dilaporkan bergerak lancar di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2," katanya.

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama