Jurucakap PLUS Malaysia Berhad, berkata, berikutan aliran trafik tinggi pada masa kini, kenderaan bergerak perlahan dari Slim River ke Sungkai, Tapah ke Gua Tempurung dan Southville City ke Kawasan Rehat dan Rawat Seremban.

" Aliran trafik sebelah selatan juga menunjukkan kesesakan lalu lintas dari Skudai ke Senai dan Kulai ke Sedenak serta Bangunan Sultan Iskandar ke Singapura.

"Ramalan jumlah kenderaan akan bertambah pada sebelah malam dari Slim River menuju Sungkai dan Tapah ke Gopeng berikutan trafik tinggi pada ketika ini," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), berkata, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah dilapor lancar setakat ini.

Hanya Genting Sempah menuju Kuantan sesak di KM32 hingga KM35 dan satu kemalangan dilaporkan berlaku dari arah Lentang ke Bentong melibatkan dua buah kenderaan namun keadaan trafik masih terkawal.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama