Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, trafik lancar sepanjang lebuh raya PLUS, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Jambatan Pulau Pinang.

Trafik bagaimanapun dilapor mulai perlahan sepanjang empat kilometer dari Tapah ke Gopeng berikutan kerja pengalihan kemalangan yang melibatkan sebuah lori trailer di Kilometer 313.3 arah Utara pada Rabu dan buat masa ini lorong kiri masih ditutup.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilapor lancar setakat ini.

Aliran trafik dijangka tinggi pada sebelah petang dari arah Pedas Linggi ke Seremban, Terowong Menora ke Kuala Kangsar, Kuala Kangsar ke Sungai Perak, kawasan mendaki Gua Tempurung dari Tapah ke Gopeng dan Sedenak ke Simpang Renggam susulan orang ramai beraya atau pulang ke bandar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama