Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata, meskipun terdapat peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, aliran trafik menuju ke utara dan selatan masih lancar.

"Trafik lancar sepanjang lebuh raya PLUS, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Jambatan Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 di kedua-dua arah juga dilapor lancar setakat ini.

"Trafik hanya perlahan enam kilometer sebelum masuk ke Terowong Genting Sempah hala timur," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafikatau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama