Menterinya, Junz Wong berkata, sehubungan itu pihaknya akan membentangkan kertas kerja mengenai perkara berkenaan kepada kabinet kerajaan negeri dalam masa terdekat.  

"Kertas kerja itu akan mencadangkan dasar untuk mengawal selia harga dan saiz udang kara serta ketam yang dijual di restoran dan pasar terbuka.

"Saya rasa amat penting ada dasar yang mengehadkan saiz (dan berat) kepada sekurang-kurangnya 500 gram bagi udang kara sebelum boleh dijual kepada restoran dan pasar terbuka. Begitu juga dengan ketam, harus ada berat minimum," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Ikan Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Wong berkata, pada masa ini udang kara kecil seberat 100 hingga 300 gram dijual pada harga antara RM120 dan RM180 sekilogram.

Mengenai lawatan hari ini, beliau berpuas hati dengan harga ketam di pasar itu yang dijual antara RM30 dan RM40 sekilogram berbanding sehingga RM60 sekilogram semalam.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan meneliti dasar mengeksport ketam bersaiz besar berbanding ketam kecil yang dijual di pasaran tempatan sekarang. - Bernama