Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kesahihan dan fakta daripada sumber tulen membuatkan akhbar atau media cetak yang wujud sekian lama, masih relevan untuk dibeli dan dibaca oleh masyarakat umum.

"Sekarang ramai orang mendapatkan berita melalui online menggunakan telefon bimbit atau peranti sedangkan mereka tidak pasti sebenarnya banyak kes yang dilaporkan tidak benar dan palsu.

"Malah ada beberapa portal yang menukarkan isi kandungan berita mereka setiap beberapa jam setelah mendapatkan semula fakta sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang membuat gesaan kepada rakyat Malaysia untuk terus membeli dan membaca akhbar sebagai tanda sokongan serta manifestasi membalas jasa yang begitu besar dimainkan akhbar dalam pembangunan rakyat dan negara.

Ketika berucap pada jamuan sempena sambutan ulang tahun ke-45 Kesatuan Pekerja-Pekerja Bernama di sini, malam tadi, Azman berkata, usaha membeli akhbar bernilai sekitar RM1 dan RM1.50 dapat menyuntik semangat baharu kepada pekerja akhbar untuk terus berkhidmat selain memperbaiki kandungan masing-masing.

Sementara itu, Lam Thye yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata akhbar juga boleh dijadikan dokumen rasmi untuk disimpan dan dijadikan bukti penting, tidak seperti maklumat dalam talian yang senang diubah dan dimusnahkan.

"Akhbar merupakan antara catatan sejarah yang berharga sehingga ia menjadi koleksi bagi sesetengah pihak untuk disimpan dan dirujuk semula," katanya.

Dalam pada itu, Lam Thye menggalakkan institusi pengajian tinggi dan sekolah melanggan akhbar bagi meningkatkan penguasaan bahasa dan kemahiran tatabahasa dalam kalangan pelajar.

Langkah itu, beliau berkata dapat meningkatkan ilmu pengetahuan am dan isu semasa dalam kalangan pendidik dan pelajar. - Bernama