Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mohamad Shafiq Sahar, 29, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha LC dari arah Gelang Patah menghala ke Lima Kedai di sini.

"Sejurus sampai simpang empat, mangsa dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah lalu melanggar bahagian tepi sebuah van jenis Placer-X yang dipandu lelaki 27 tahun.

"Pada masa sama, sebuah lagi van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 68 tahun yang berada di belakang mengelak daripada melanggar mangsa sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, kedua-dua pemandu van terbabit turut mengalami kecederaan pada bahagian anggota badan dan tangan serta patah tangan kanan.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun  Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE