Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmaberkata, tawaran itu membolehkan orang ramai untuk pulang beraya dengan tambang rendah tetap iaitu RM99 untuk laluan terpilih dalam Semenanjung Malaysia dan RM149 dari Kuala Lumpur ke Kuching bermula dari 12 hingga 19 Jun depan.

“Selalunya tambang akan naik apabila permintaan meningkat tetapi kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat pulang untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan orang yang tersayang.

“Pada bulan lepas pula, kami telah menambah 43 kekerapan penerbangan dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching untuk Hari Raya. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa yang terlibat terutamanya Malaysia Airports Holding Berhad atas sokongan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penerbangan Balik Raya istimewa ini hanya untuk tempahan baharu sahaja dan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Orang ramai yang akan membuat perjalanan di musim perayaan ini dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan, dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk melalui laman web dan aplikasi mudah alih untuk kemudahan mereka.

Perkhidmatan tersebut boleh didapati bermula 14 hari sehingga satu jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan.

Mereka yang mempunyai bagasi daftar masuk pula dinasihatkan untuk tiba lebih awal untuk memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk bagasi mereka sebelum ke pintu masuk.

Kaunter daftar masuk di klia2 bagi kedua-dua penerbangan antarabangsa dan domestik akan ditutup 60 minit sebelum waktu berlepas yang dijadualkan. - K! ONLINE