AirAsia berkata, pertikaian itu mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC) dan tahap perkhidmatan yang lemah di KLIA2.

Syarikat penerbangan itu menegaskan, bahawa di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, Mavcom mempunyai kewajipan berkanun untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu selepas pengantaraan antara pihak-pihak tersebut gagal, atau dianggap telah gagal.

"Keengganan untuk membuat keputusan mengenai pertikaian itu adalah bertentangan dengan Seksyen 74 hingga 78 Akta tersebut," menurut AirAsia dalam kenyataan hari ini.

AirAsia dan AirAsia X turut memohon perintah mandamus untuk memaksa Mavcom membuat keputusan mengenai pertikaian itu antara mereka dan MASSB mengikut kewajipan berkanunnya.

Syarikat penerbangan itu berkata, MASSB telah memfailkan beberapa tindakan mahkamah, termasuk dakwaan fitnah terhadap eksekutif tertinggi kumpulan AirAsia kerana membuat kenyataan media terhadapnya, dan menuntut syarikat penerbangan tersebut membayar jumlah PSC yang tidak dikutip kepada mereka.

Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu mempertikaikan tuntutan pengendali lapangan terbang tersebut dan telah memohon untuk membatalkan tindakan itu.

Syarikat tersebut turut membuat tuntutan sebanyak RM480 juta terhadap MASSB atas kerosakan yang ditanggung susulan daripada perkhidmatan yang lemah di KLIA2. - Bernama