Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, sebaliknya, diskaun yang digunakan untuk pengambilalihan Splash adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan diskaun yang digunakan dalam pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad pada 2015.

"Di dalam transaksi PNSB, Air Selangor membayar harga yang bersamaan dengan 0.86 kali nilai buku bersih, iaitu diskaun sebanyak 14 peratus ke atas nilai buku bersih aset konsesi air PNSB, di dalam transaksi itu, Air Selangor tidak mengambilalih aset bukan konsesi air yang dimiliki PNSB.

"Di dalam transaksi Splash pula, nilai tawaran Air Selangor bersamaan dengan 0.72 kali nilai buku bersih syarikat berkenaan, iaitu diskaun sebanyak 28 peratus ke atas nilai buku bersihnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan berkenaan bagi menjawab dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengatakan pengambilalihan Splash membuatkan rakyat Selangor perlu membayar lebih 10 kali ganda daripada apa yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri pada 2013. - Bernama