Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, fokus siasatan polis lebih kepada penderaan yang dilakukan sehingga menyebabkan kematian budak perempuan tersebut.

"Air jampi itu dengan kes tiada kaitan, yang ada kaitan dia (suspek) pukul anak dia. Sesiapa sahaja boleh mengambil air jampi tersebut dan ini kepercayaan masing-masing.

"Bagaimanapun, jika ada bukti menunjukkan kaitan dengan kes, kita akan ambil keterangan orang yang terlibat. Buat masa ini air jampi dengan ustaz (yang membuat air jampi) tidak ada kaitan dengan kes," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengawas di sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin di sini pagi tadi.

Kosmo! hari ini melaporkan, satu bekas air yang dipercayai mengandungi air jampi antara barangan dirampas oleh polis dalam siasatan kes Nur Aina Nabihah yang disyaki mati akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya pada malam 31 Januari lalu.

Difahamkan, suspek utama kes itu iaitu bapa kandung mangsa yang juga anggota tentera berpangkat sarjan menggunakan air jampi itu untuk mengubati budak perempuan tersebut yang dituduh memiliki saka dalam tubuhnya.

Polis turut merampas sebuah bangku kecil plastik dan satu tali pinggang tentera di rumah sewa mereka. - K! ONLINE