Hari raya korban yang memuliakan kesediaan Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya kepada Allah SWT selain menandakan sempurnanya ibadah haji disambut dengan penuh kesederhanaan dilengkapi dengan rasa syukur dan semangat pengorbanan.

Malah, cuaca yang cerah di kebanyakan negeri turut membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat hari raya dalam keadaan selesa diikuti ibadah korban yang dilaksanakan secara bergotong royong sama ada di peringkat masjid, kampung mahupun daerah.

Di Kelantan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan rakyat di Masjid Al-Ismaili di Tumpat dan baginda diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Sementara di Kota Bharu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan untuk solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Muhammadi sambil diiringi Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara bersama-sama lebih 10,000 umat Islam.

Beliau diiringi dua anaknya iaitu Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz disambut Imam Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.- Bernama