Ahmad, 82, berasal dari Semanggol, Kerian itu juga merupakan Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah) dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Perak manakala Datuk Lat, 67, yang terkenal dengan karya Kampung Boy pula diumum sebagai Tokoh Ar Ridzuan. 

Penerima anugerah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, sijil penghargaan dan pakej menunaikan umrah. 

Anugerah tersebut disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Ahmad pernah menerajui Persatuan Ulama Malaysia sebagai Presiden selama kira-kira 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Datuk Lat yang merupakan anak kelahiran Kampung Lalang, Gopeng dekat sini pula telah menerbitkan lebih 20 jilid kartun sejak berusia 10 tahun sehingga karyanya iaitu Kampung Boy yang diterbitkan pada tahun 1979 membawa nama Malaysia ke serata dunia.

Beliau ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur kerana usaha kerasnya yang dihasilkan selama ini bermanfaat untuk masyarakat. 

“Saya telah menghasilkan kartun ini sejak zaman persekolahan lagi hasil dorongan daripada keluarga, guru-guru, kawan-kawan dan pelukis-pelukis senior. 

“Karya yang saya hasilkan bertujuan untuk menyampaikan mesej yang baik, menghubungkan silaturrahim dan memberi kesan kepada negara kita serta negara luar,” katanya. - K! ONLINE