Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Sultan Abdullah bertitah agar seluruh rakyat Malaysia supaya berhati-hati dengan keadaan cuaca panas ini.

"Seri Paduka Baginda bertitah agar semua rakyat secara konsisten kekal hidrasi dan berhati-hati agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan berharap agar rakyat menjaga diri dan mereka yang tersayang dengan sebaiknya semasa musim panas ini," kata Ahmad Fadil.

Katanya, Sultan Abdullah juga bertitah agar kanak-kanak dan juga warga emas diberi lebih perhatian kerana mereka lebih berisiko terdedah kepada kesan suhu yang semakin meningkat.

Peningkatan suhu ini disebabkan pelbagai faktor, termasuk kurangnya awan dan taburan hujan rendah yang biasa berlaku pada akhir musim Monsun Timur Laut, yang menyebabkan keadaan paling kering di negara ini. - Bernama