Ketibaan baginda disambut Pengarah Hospital Putrajaya, Datuk Dr Nora'i Mohd Said dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya serta kakitangan hospital. 

Kehadiran baginda secara mengejut di lobi hospital pada pukul 10.45 pagi itu nyata mengundang rasa teruja rakyat jelata berada di situ yang tidak melepaskan peluang menghulurkan salam kepada baginda. 

Setelah bersalam-salaman dan bertanya khabar, Seri Paduka kemudiannya diiringi ke tingkat lima hospital bagi menziarahi seorang kenamaan yang dirawat di situ. 

Usai ziarah, baginda kemudiannya turun ke lobi untuk berangkat pulang namun, kehadiran Sultan Abdullah sekali lagi 'disekat' rakyat jelata yang sedia menunggu untuk merakam kenangan seolah-olah tidak mahu membenarkan baginda meninggalkan kawasan itu. 

Keramahan baginda terserlah apabila tidak keberatan melayan kerenah pelbagai lapisan masyarakat di situ yang meminta untuk bersalam dan mengambil gambar bersama baginda. 

Yang di-Pertuan Agong juga dilihat tersenyum menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, malah turut mencium seorang bayi yang dipangku bapanya, lantas mengundang rasa kagum mereka yang melihatnya. 

Baginda juga dilihat berpesan kepada seorang pesakit yang mengalami sakit sendi lutut agar tidak lupa melakukan fisioterapi dan menjaga kesihatan. 

Sultan Abdullah juga tidak keberatan memegang telefon bimbit satu keluarga bagi merakam gambar bersama sambil berpesan supaya terus menjaga ibu mereka yang tidak sihat yang dilihat berkerusi roda ketika itu. 

Setelah bersalaman dan bergambar dengan hampir kesemua mereka yang beratur di sepanjang lobi, baginda kemudiannya memohon berangkat pulang, diikuti tepukan hormat mereka yang berada di situ. - Bernama