Keberangkatan tiba Sultan Muhammad V pada pukul 9.58 pagi tadi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri SA Vigneswaran.

Turut menyambut keberangkatan baginda ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Muhammad V menerima sembah 'Hormat Diraja' daripada Mejar Mohd. Izham Ahmad Rashidi yang mengetuai barisan kawalan keselamatan utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Selepas itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD diketuai Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya diikuti tembakan meriam 21 das.

Baginda kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat utama terdiri daripada 96 anggota dan Enam pegawai Batalion Pertama RAMD diketuai Mohd. Izham.

Selesai istiadat, Sultan Muhammad V kemudian diiringi ke Bilik Diraja untuk bergambar sebelum ke Dewan Rakyat bagi menyampaikan titah ucapan perasmian.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari bermula 16 Julai hingga 16 Ogos depan. - K! ONLINE