Seri Paduka Baginda bertitah, kerajaan juga mendedahkan kedudukan kewangan negara yang sebenar, mengkaji semula perbelanjaan, kos projek dan mengurus kewangan secara berhemat.

“Bagi menangani kos sara hidup, beta menyokong langkah untuk memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga minyak dan memberikan bantuan sara hidup yang diharap dapat meringkan beban rakyat.

“Pada masa sama, beta menghargai sumbangan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan umur yang disalurkan kepada dana Tabung Harapan sebagai tanda prihatin terhadap negara,” titah baginda.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini sebentar tadi. - K! ONLINE