Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, kira-kira pukul 4.05 petang dan disambut Wan Rosdy dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed serta barisan kepimpinan pentadbiran negeri.

Turut berangkat ke majlis itu ialah anakanda baginda berdua iaitu Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah serta adinda Sultan Abdullah, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Abdul Fadh Mu'adzam Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta wakil rakyat Pahang. 

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan mencemar duli menyantuni tetamu yang berbaris di sepanjang laluan masuk untuk bersalaman dan mengucapkan selamat hari raya kepada baginda berdua.

Majlis yang diadakan sejak pukul 10 pagi tadi, dihadiri kira-kira 7,000 tetamu berbilang kaum dan agama yang disajikan dengan juadah hari raya seperti rendang, lemang, nasi minyak dan laksa Pahang. - Bernama