Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal  Ab Rahman berkata, majlis itu akan berlangsung di Istana Abdulaziz di sini bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari. 

"Semua rakyat jelata dijemput hadir dengan berpakaian sopan dan kemas yang bersesuai dalam tempoh berkabung. 

"Baginda berdua turut berkenan mengambil kesempatan itu untuk mencemar duli bagi mengucapkan selamat hari raya kepada rakyat Pahang dan tetamu jemputan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini. 

Ahmad Khirrizal berkata Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut hari raya bersama-sama rakyat bagi kali pertama selepas Seri Paduka dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lepas.  

Beliau berkata, tetamu majlis itu dibenarkan meletak kenderaan di tempat letak kereta Galeri KotaSAS dan Kampus Universiti Islam Antarabangsa di sini, bagi melancarkan pergerakan trafik pada hari tersebut. 

"Untuk kemudahan tetamu, perkhidmatan bas perantara disediakan di kedua-dua lokasi itu untuk membawa mereka ke Istana Abdulaziz," katanya. - Bernama