Seri Paduka Baginda tiba di Kompleks berkenaan kira-kira pukul 10 malam sambil diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Turut hadir Duta Besar Arab Saudi Ke Malaysia, Mahmoud Hussen Qattan; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat.

Bagi memberkati para jemaah, bacaan doa dibacakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi memudahkan segala urusan jemaah haji di tanah suci bagi tahun ini.
Sebaik sahaja bacaan doa selesai, azan dilaungkan oleh Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam Tabung Haji, Syafiq Syawal. 

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut bersalaman sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji KT22 yang dijadual berlepas kira-kira pukul 1.30 pagi ini dengan menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH8142 dan dijadualkan tiba di Lapangan terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 5.45 pagi.

Sehingga kini, sebanyak 40 penerbangan yang membawa sebanyak 17,000 jemaah haji telah pun tiba di Tanah Suci secara berperingkat.

Kumpulan pertama jemaah haji tiba di Makkah ialah pada 14 Julai lalu dan penerbangan jemaah haji dari Malaysia yang terakhir dijadualkan pada 15 Ogos ini.

Pada musim haji tahun ini sebanyak 81 penerbangan khas disediakan untuk membawa 32,000 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan MAS dan Flynas. - K! ONLINE